Monday, February 27, 2012

Ibrah buat...


(Dipetik dari kuliah Zohor di Surau Menara TM sekejap tadi. Ustaz sedang mengkuliahkan Hadis Pertama dari Hadis 40 Imam Nawawi rahimahullah. Kemudian dia menceritakan satu kisah seorang ahli ibadah yang dipetik dari kitab Majalis As-Saniah. Majalis As-Saniah adalah salah satu kitab syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Apa yang aku tidak pasti, adakah kisah ini berkait dengan Hadis Pertama dari Hadis 40 berkenaan, atau berkait dengan buku Hadis 40 itu sendiri.)

Diceritakan bahawa seorang ahli ibadah yang sangat suka menolong hendak berkhulwah (berkhalwat, bersendirian untuk beribadah kepada ALLAH SWT) di sebuah bukit. Dalam perjalanannya, apabila sampai di kaki bukit, dia terserempak dengar seekor ular. Dia terdengar ular itu menyebut, "Tolonglah aku! Tolonglah aku!"

Dia membalas, "Apa yang boleh aku tolong?"

Ular itu berkata, "Aku sedang diburu oleh pemburu-pemburu ular. Tolonglah aku untuk bersembunyi dari mereka!"

Lantas tanpa berlengah, ahli ibadah tadi terus membentangkan kain yang dibawanya dan menyuruh ular berkenaan masuk. Dia akan bungkus sewajarnya kain berkenaan seterusnya melindungi ular berkenaan dari dijumpai para pemburu.

Ular berkata, "Demi ALLAH! Aku akan masih dijumpai jika aku bersembunyi sedemikian rupa!"

Ahli ibadah berkenaan membalas, "Jika engkau keberatan, bagaimanakah caranya lagi aku boleh membantu engkau wahai ular?"

Ular itu menjawab, "Benarkan aku masuk ke dalam mulut engkau!"

Terkejutlah ahli ibadah berkenaan. Namun kerana azamnya untuk membantu ular berkenaan menyembunyikan diri dari pemburu ular, dia pun mengangakan mulutnya dan membenarkan ular tersebut masuk ke dalam mulutnya. Sesampainya ular berkenaan di perut ahli ibadah itu, ular itu berasa sangat selesa.

Seketika kemudian sampailah para pemburu ular dan mereka menyoal ahli ibadah itu, "Adakah engkau nampak seekor ular di sini?"

"Tiada, aku tidak nampak!" jawab ahli ibadah berkenaan, berhelah. Memanglah dia sudah tidak nampak lagi ular itu disebabkan haiwan berkenaan telah berada di dalam badannya.

Setelah puas mencari dan berpuas hati yang ular itu tidak berada di situ, pemburu berkenaan beredar.

Sesudah beberapa ketika, ular berkenaan bertanya, "Adakah pemburu berkenaan masih berada dekat atau pun sudah jauh dari sini?"

"Ya, mereka sudah jauh," jawab ahli ibadah itu. "Jadi bolehkah engkau keluar sekarang?"

"Demi ALLAH aku tidak akan keluar dari sini melainkan aku membunuh engkau atau pun aku makan sedikit hati engkau!" tegas ular berkenaan, berubah.

"Subhanallah!" Terkejutlah si ahli ibadah. Tidak disangkanya pertolongannya kepada ular berkenaan akan memberikan bencana kepadanya. Memang tidak disangka sekali niat jahat ular berkenaan. Namun dia tidak berputus asa. "Wahai ular, masihkah ada pilihan lain untukku?"

"Tidak!" Ular berkenaan bertegas. "Demi ALLAH aku pernah berjanji dengan Adam a.s. dan aku pernah memungkirinya. Mengapa engkau boleh lupa akan hakikat ini?"

Dengan balasan berkenaan, sedarlah ahli ibadah itu yang dia sudah tidak ada pilihan yang lain. Maka dia meminta untuk menunaikan solat dua rakaat, sebagai solat penghadapannya kepada ALLAH SWT yang terakhir sebelum dia dibunuh. Ular berkenaan mengizinkan.

Seusai solat, hamba ALLAH ahli ibadah berkenaan berdoa mengadu nasibnya kepada ALLAH. Doanya membuatkan 'Arasy ALLAH SWT bergegar, kerana keikhlasan yang ditunjukkan dan kezaliman yang menimpa ahli ibadah berkenaan. Para malaikat pun bergegas untuk membantu ahli ibadah berkenaan. Selepas berdoa, datang malaikat membawa daun dari syurga dan disuruh ahli ibadah berkenaan memakannya, mengunyahnya sampai lumat dan menelannya.

Sebaik saja masuk daun itu ke dalam perut ahli ibadah, ular berkenaan mula tidak selesa. Maka keluarlah ular berkenaan dari dubur ahli ibadah berkenaan dalam bentuk daging seketul demi seketul tanpa tinggal sebarang kesan pun di dalam perut ahli ibadah berkenaan.

Pengajaran: Antaranya yang disebut oleh ustaz, setiap perbuatan menolong makhluk yang kita buat pasti ada ganjarannya di sisi ALLAH, walaupun kelihatannya perbuatan berkenaan membahayakan diri kita sendiri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...