Thursday, January 19, 2012

Rekayasa

Sudah lama aku tidak menjengahnya. Berapa purnama, berapa mentari aku tidak pasti. Namun, sesekali menyinggah mata menjenguk khabarannya yang terkini dan perkembangan semasanya, dalaman aku bercampur-baurnya jadinya. Terkadang, aku berkira-kira supaya aku tidak pernah mengetahui usul cerita duduknya perkara sebanyak mana yang aku ketahui ketika ini. Berat beban yang tergalas di pundak ini lantaran kewujudan memori-memori tambahan yang sungguh menguji dan mengesankan itu. Senak sereberumku beberapa detik dalam tahun-tahun belakangan ini.

Memori-memori tambahan ini bukannya datang dari kesensitifan pendengaranku kurniaan ALLAH SWT. Ianya datang dari pembacaan kepada pengalaman dan pembacaan itu sendiri. Meninggalkan memori ini seolah-olah satu penafian dan penipuan terhadap diriku sendiri. Melayannya menyesakkan fikiran. Inilah ujian. Ujian seumur hidup.

Beberapa komen terkini membayangkan penantiannya sudah berakhir. Perasaan aku bercampur baur. Walaupun respon teman-temannya yang berkenaan bukanlah suatu petanda pasti, namun seolah-olahnya kegirangan itu tidak dapat lagi disembunyikan. Pesanku jangan dilupakan 'Insya-ALLAH' di akhir setiap janji untuk khabaran teristimewa itu.

Sedangku berehat-rehat di rumah, pintu utama diketuk. Aku lantas turun ke tingkat bawah, menjawab salam dan membuka pintu. Aku tidak pernah mengenali mereka. Datang beberapa orang. Aku menjemput mereka masuk selepas mereka memohon.

"Tujuan kami datang adalah untuk meyampaikan hajat bagi pihak saudari kami, ..." Namanya disebut. Hajatnya disampaikan. Aku terpempan.

Terkejut bukan kepalang. Mereka menjelaskan statusku tidak dikisahkannya. Aku sama sekali tidak menyangka menjadi bukan yang pertama adalah pilihannya. Jengukkan aku dahulu nampaknya ada makna yang lain.

"TTiidaaakkkkk!!!"

Terbingkas bangun aku dari pembaringanku di katil malam hari. Pucat lesi. Menggigil. Nak beli lampin anak pun masih berkira-kira, inikan pula nak berhajat besar sedemikian rupanya. Aku mengurut dada. Takut. Tidak mahu. Tidak hendak. Tidak ingin.

Sudahnya, tidurku bertukar tempat, bajuku bertukar belakang depan dan aku berwudhu'. Berdoa kepada ALLAH SWT ditenangkan layar lenaku. Mungkin juga dikurniakan mimpi-mimpi yang lebih ringan berbanding yang satu ini!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...