Wednesday, December 28, 2011

Unfinished fighting sequences

Aku berjaya mengelak serangan itu. Lantas aku mara ke depan setapak, menyampaikan tumbukan lurusku ke mukanya. Namun, dengan pantas dia mencengkam buku limaku. Aku tidak mati akal. Kubengkokkan lenganku dan kuhalakan sikuku ke mukanya. Dia yang terkejut pantas melepaskan cengkamannya dan berundur ke belakang. Aku jadi hilang keseimbangan dan terdorong ke depan. Tiba-tiba kulihat lututnya menuju ke mukaku. Aku tidak ada masa untuk berfikir lantas membuka kedua-dua tapak tanganku untuk melindungi mukaku. Serangan lututnya memang padu sehinggakan aku terasa kesakitannya, walaupun gagal mensasarkan mukaku. Aku bingkas menangkap betisnya dan menolaknya sehingga dia terjatuh ke tanah dek hilang keseimbangan.

Aku terus melompat dan menerkam ke arahnya namun dia berjaya berguling ke tepi. Menyedari sasaran aku sudah tidak relevan lagi, aku menghambur jauh ke depan dan cepat-cepat berdiri. Bersedia untuk menghadapi ancaman seterusnya. Menilai kembali kewajaran taktik yang digunakan. Ternyata aku diuji hingga ke hadnya bila menghadapi lawanku kali ini.

Kulihat tapaknya sudah berubah, melincah seolah-olah hendak menggunakan serangan sepakan atau tandangan. Aku menarik nafas, bersedia dan cuba membaca geraknya. Dalamnya laut memang sukar hendak diduga, begitu jugalah dengan hati perut seorang manusia. Aku merenung sepasang kakinya yang bergerak lincah itu.

Tiba-tiba dia berhenti. Aku tanpa berlengah-lengah lagi terus menyerang. Kali ini dengan satu juringan terbang. Entah idea apa gerakan mana aku sudah tidak peduli. Aku mesti menamatkannya secepat yang mungkin. Dia berkalih ke tepi, namun sepantas kalihannya kulibas kaki kiriku hingga mengenai bahu kirinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...