Monday, October 25, 2010

Bowling di Ampang Superbowl


Alhamdulillah, berjaya memenangi tempat pertama berpasukan dengan jatuhan pin yang sama dengan pasukan di tempat kedua. Baru tahu, jika jumlah jatuhan pin berpasukan adalah sama di antara para pemenang, pemenang sebenar ditentukan melalui jumlah jatuhan pin berpasukan yang paling banyak pada game pertama.

Terlebih dahulu, dikhabarkan pertandingan boling yang beryuran RM12.50 ini hanyalah untuk tujuan suka-suka. Dipanggil pada saat terakhir untuk menggantikan beberapa orang bos yang tidak dapat menghadirinya. Menjadi bidan terjunlah barangkali.

Mengesahkan corak permainan dengan penganjur supaya ianya selari dengan syariat Islam dan tidak jatuh dalam kategori haram perjudian adalah perkara vital. Setelah pengesahan diperolehi, jadual aktiviti hujung mingggu disemak dan segalanya kelihatan meyakinkan, maka pengesahan kehadiran diberikan melalui sms Jumaat lepas.

Sebelum permainan dimulakan Ahad semalam, telinga kami semua yang menanti lane disediakan, disajikan dengan alunan muzik dan nyanyian Maher Zain. Sungguh, tak pernah mendengar ianya dimainkan di mana-mana pusat boling sebelum ini. Memang satu fenomenalah kita katakan kepada penghibur global ini. Masakan tidak, pengusaha pusat boling berkenaan memecah tradisi dengan memainkan lagu Maher Zain. Walaupun satu pusingan album sahaja, berbaloilah sebagai permulaan.

Satu saja. Pakaian sesetengah kaum hawa yang menjadi peserta. Aku cukup rimas. Adakah tidak ada cara berpakaian yang lebih baik untuk digayakan? Pemain profesional pun tidak berpakaian sedemikian rupa. Namun yang demikian, ketidak profesionalan kalian bukanlah tiket untuk berpakaian sedemikian rupa. 'Tiket-tiket' seperti santai hujung minggu, acara membebaskan diri dari kurungan baju kuung, busana muslimah terkini ala-Rosmah, hak peribadi hak asasi dll sama sekali tidak boleh untuk diterima. Ini bukannya sesi berjalan di tepi pantai, juga bukan sesi lawatan dan menyinggah ke sauna dan butik mewah. Berapa kali demikian daa....

Lepas ni sebarang jemputan main boling kena dalami dan pertimbangkan lagi sebaik mungkin jika ini adalah hasilnya...

p/s anak Dzul namanya Damiya sudah besar setahun lebih, sangat comel dan pandai dah berjalan...

Monday, October 18, 2010

Jawapan Balas Terhadap Kenyataan Ketua Pemuda MCA dan Gerakan

Jawapan Balas Terhadap Kenyataan Ketua Pemuda MCA dan Gerakan - Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat

KENYATAAN MEDIA

18 Oktober 2010 / 10 Dzulkaedah 1431

Jawapan Balas Terhadap Kenyataan Ketua Pemuda MCA dan Gerakan

Pertama, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap terima kasih atas kritikan biarpun keras dari Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong ekoran tindakan kami membantah penganjuran Konsert Artis Gay Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil baru - baru ini. (merujuk kepada kenyataan Tan Keng Liang yang disiarkan dalam laman web Free Malaysia Today, 15 Oktober 2010, manakala kenyataan Wee Ka Siong dalam The Star Online, 16 Oktober 2010. Kedua-dua pemimpin pemuda tersebut membidas sikap DPPP dalam membantah konsert Adam Lambert yang didakwanya sebagai berfikiran sempit, ekstrim dan tindakan untuk mendiskriminasikan komuniti gay di Malaysia)

Kedua, mereka harus memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti ummat Islam dan mempunyai lunas perlembagaan serta undang-undang yang tersendiri. Adalah tidak manis sekiranya Malaysia menjemput seorang artis yang mempopularkan budaya homoseksual yang jelas bertentangan dengan imej, budaya dan agama di Malaysia. Malah, perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu kesalahan dalam undang-undang di Malaysia. Ini menunjukkan sikap tidak sensitif kerajaan dalam membenarkan penganjuran konsert tersebut di negara ini.

Ketiga, DPPP menginginkan sebuah negara maju yang tidak meruntuhkan naluri kemanusiaan dan kemuliaan seorang manusia. Apakah maknanya sebuah negara maju sekiranya perbuatan songsang dianggap sebagai satu kebiasaan, trend masa kini dan adakah ia memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia? Jika benar dakwaan Tan Keng Liang bahawa terdapat satu komuniti gay di Malaysia, inilah masanya untuk kita sama-sama bimbing dan membentuk mereka ke arah perbuatan yang betul dan bukannya membantu untuk menyuburkan budaya tersebut.

Keempat, DPPP juga khuatir sekiranya artis luar negara, Adam Lambert akan melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan garis panduan persembahan artis luar negara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia iaitu mengenai gerak laku semasa persembahan. Pihak DPPP tidak mahu sekiranya Adam Lambert akan mengulangi tindakan yang pernah dilakukan di American Musics Award sebelum ini di
Malaysia pula.

Kelima, suka DPPP mengajak Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah untuk turun bergandingan dan berkerjasama dengan Pemuda PAS membimbing dan menyelamatkan generasi muda dari terus terjebak dalam cara dan gaya hidup yang songsang dan tidak bermoral.

Keenam, atau apakah kalian mahu membiarkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular di dalam negara kita tanpa dibendung ? Apakah sebenarnya matlamat perjuangan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan ? DPPP tidak fikir kalian mahu negara ini terdedah kepada budaya kuning dari barat itu menular masuk ke dalam negara kita . Marilah kita selamatkan negara dan generasi mudanya dari budaya kotor seperti seks bebas dan homoseksual ini. DPPP mengajak kalian untuk bersama berjuang menjadikan Malaysia negara kita sebagai zon bebas dari budaya hidup yang songsang dan tidak sihat ini lantara implikasinya adalah sangat buruk buat pertumbuhan sosial negara kita.

Ketujuh, sebagai contoh, andainya gejala songsang dan homoseksual ini berlaku dalam MCA dan Gerakan , apakah kalian mahu membiarkan ia menular lantas kalian membela dan mempertahankan cara hidup mereka? Mudahnya, jika itulah sikap yang diambil oleh kalian, DPPP percaya suatu masa nanti Pemuda MCA dan pemuda Gerakan akan pupus ketiadaan waris yang meneruskan perjuangan kalian justeru homoseksual tidak akan melahirkan waris.

Kelapan, DPPP ingin menekankan bahawa PAS tidak anti hiburan. Namun, corak persembahan, lirik lagu, budaya dan peribadi artis yang diundang mestilah diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi sikap individu terutamanya golongan muda. Malah, kami menyeru agar semua pihak bersama-sama membentuk rakyat agar memiliki jati diri yang teguh, mengamalkan corak hidup yang sihat dan bertamadun ke arah menuju sebuah negara yang maju.

Kesembilan, DPPP bukanlah ekstrim sebagaimana yang didakwa. Justeru ekstrim itu ialah mereka yang degil untuk melakukan maksiat dan mungkar biarpun mereka menyedari ia adalah terlarang. Ekstrim ialah mereka yang degil melakukan perbuatan yang merosakkan moral dan akhlak biarpun mereka mengetahui implikasinya membinasakan pertumbuhan sosial negara. Sementara mereka yang berjuang untuk kebenaran dan menyelamatkan generasi dari terjebak dalam pengaruh mungkar serta kerosakan moral ini pula ialah golongan yang berprinsip bukan ekstrim.

Kesepuluh, DPPP mengharapkan Kalian tidak salah faham apalagi buat-buat tidak faham, kenapa Pemuda PAS bangkit membantah budaya seperti ini. Tidak cukup lagikah kebejadan yang berlaku menimpa negara hari ini akibat berleluasanya pengaruh cara hidup barat dalam negara dan generasi muda kita ? Kalian tentu tidak mahu rosaknya peradaban dan tamadun negara kita sebagaimana rendah dan runtuhnya moral dan tamadun kemanusiaan di barat
hari ini.

Disediakan oleh:

Ust.Nasruddin Hassan At Tantawi
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat

Thursday, October 14, 2010

Emas ke-9 Malaysia


Emas ke-9 Malaysia dalam Sukan Komanwel 2010, dari acara beregu campuran badminton.

Thursday, October 07, 2010

Qiraat: Saya bukan ahli

Ada beberapa permintaan untuk menjelaskan tentang sejarah qiraat tertentu yang diterima oleh saya. Juga, beberapa persoalan lain berkenaan tarannum dan lain-lain ilmu pembacaan Al-Quran yang saya memang kurang arif.

Saya yakin berdasarkan statistik Blogger untuk blog saya ini, semua soalan in adalah ditujukan apabila penyinggah membaca artikel ini. Artikel itu ialah salinan tanpa pindaan dari emel seorang sahabiah ke dalam satu e-group yang saya sertai. Ianya ditulis oleh sahabiah berkenaan apabila tercetus satu persoalan berkenaan qiraat dan tarannum yang hangat dicari dan ingin diketahui di era permulaan rancangan Akademi Al-Quran disiarkan.

Saya sendiri ingin menjelaskan bahawa salinan berkenaan hanyalah sekadar perkongsian. Saya sendiri tidak ada kemahiran dan pengetahuan yang mendalam di dalam ilmu qiraat dan tarannum yang berkenaan. Justeru sebarang pertanyaan tidaklah dapat saya jawab dan perlulah ditujukan kepada mereka yang lebih arif dalam bidang ini.

Wallahua'lam.

Pemantun

Di manakah dia?
Sudah lama aku tidak mendengar khabarnya. Sihatkah, gembirakah, semua itu aku tidak tahu.

Sepanjang pengetahuan aku dia sudah berkahwin. Adakah dia sudah mempunyai zuriat? Berapa orang?

Di manakah dia tinggal sekarang?

Di manakah dia bekerja atau mungkin mengajar sekarang?

Ada pautannya di Friendster yang sudah lama tidak kubuka, namun aku gagal mengesannya di Facebook...

Adakah dia masih aktif berpantun?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...