Friday, August 13, 2010

Keadaan

Peraturan dan undang-undang gunanya untuk memandu dan mengawal hidup. Segala-gala yang berlaku di sekeliling kita, ada peraturan dan hukum yang ALLAH SWT telah tetapkan. Dalam mengatur hidup, banyak peraturan yang sering kita persoalkan. Bukan peraturan dan undang-undang gubalan manusia saja yang kita ragu dan bantahkan, terkadang sampai satu tahap undang-undang dan hukum ALLAH pun sanggup kita sanggahi dan engkari. Sangatlah melampaunya orang yang tidak mahu mematuhi perintah ALLAH yang Maha Sempurna dan Maha Menghukum; Maha Adil dan Maha Bijaksana.

Undang-undang ciptaan manusia tidak sempurna. Jika diambil contoh terdekat, masyarakat umum di Malaysia amat membenci Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Whistle-blowers amat anti dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan pengamal media amat membantah Akta Media & Mesin Cetak. Ada provisi di dalam akta-akta berkenaan tidak selari dengan prinsip syariah Islamiyyah seperti contohnya, konsep penahanan tanpa bicara yang diwarisi dari asas "seseorang itu bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya." Dalam Islam, seseorang itu tidak bersalah melainkan dapat dibuktikan bahawa dia bersalah.

Bagaimana dengan akujanji? Pelbagai jenis akujanji yang pernah dijumpai dalam hidup ini termasuklah aqad jual beli kediaman dan kenderaan, aqad nikah, pengakuan untuk tidak berpolitik bagi mahasiswa dan kakitangan kerajaan, akujanji merahsiakan maklumat sulit kerajaan atau syarikat, perakuan merahsiakan info tender, sebut harga mahupun kontrak dan pelbagai jenis lagi. Akujanji juga satu bentuk kawalan.

Apabila sesebuah syarikat berada di tahap kritikal atau cemerlang, seringkali mereka memerlukan akujanji untuk memaksa kakitangan mereka merahsiakan keadaan terkini syarikat, apa yang menyebabkan syarikat sangat cemerlang atau bencana apakah yang mengusutkan hati kepimpinan syarikat. Satu contoh yang ingin dibawa di sini, pelaksanaan langkah penjimatan kos yang sangat luar biasa di peringkat bawahan tanpa seiring dengan penjimatan kos di peringkat atasan adalah sesuatu yang amat mencurigakan. Pekeliling yang disiarkan hanya sampai di peringkat atasan saja. Apa yang berlaku sebenarnya cuba ditutup pelaksanaan akujanji.

Sekali lagi diulangi, peraturan dan undang-undang adalah untuk mengawal. Kadang-kadang rasa tersepit. Kadang-kadang merasakan akujanji ini seperti OSA yang amat dibencikan itu. Namun jika tidak ada kawalan, dikhuatiri bercemperalah maklumat yang tidak sepatutnya di khalayak umum. Tetapi jika pelaksanaannya terlalu ekstrim dan mendahului apa yang Islam benarkan, maka seharusnya ianya ditentang.

Tentang? Beranikah?

Bagaimana dengan membetulkan dari dalam? Ah, keadaan tidak berkuasa menyebabkan perubahan ke arah kebaikan tidak mampu untuk dilaksanakan.

(Akujanji ini tidak harus ditanda tangani.)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...