Friday, May 22, 2009

Pak Su Weil Manik Urai Kembali Ke Rahmatullah

Sumber: MSO

JAM 7:03 minit pagi tadi saya menerima dua SMS dan satu panggilan dukacita memaklumkan Adun Manik Urai, Kuala Krai, Ismail Yaacob, 60 atau lebih mesra dikenali Pak Su Weil (foto) telah meninggal dunia jam 5:55 pagi tadi.

Kedua SMS itu bagaimana pun tidak menjelaskan mengenai sebab-sebab kematian itu. Seminggu lalu seorang penjenguk blog Merah Tinta telah memberi tahu mengenai keadaan keuzuran Pak Weil di mana sebelah kakinya dipotong kerana sakit kencing manis.

Tetapi malang penjenguk itu tidak menjelaskan keadaan yang tepat menyebabkan berita keuzuran itu tidak disiarkan. Sehinggalah saya menghubungi salah seorang Exco Kelantan yang mengiyakan mengenai keadaan Pak Su Weil yang sakit dan masih berada di hospital.

Menurut Exco berkenaan keadaan Pak Su Weil ketika itu stabil dan beliau berhajat menziarahinya dan akan memaklumkan semula kepada saya.

Saya berhajat untuk menziarahi Pak Su Weil, menanti kebetulan balik ke Kelantan saja.

Namun Tuhan nampaknya tidak mengizinkan untuk saya menemui Pak Su Weil buat terakhir kalinya. Hari ini, Jumaat 22 Mei Pak Su Weil telah dijemput-Nya untuk kembali ke alam asal. Al Fatihah.
Pak Su Weil bukan seorang Exco yang hebat, atau pemimpin Pas terkenal di Kelantan. Tetapi kalau sebut sahaja nama Pak Su Weil tidak orang yang tidak mengenalinya. Ia akan dirujuk kepada Adun Manik Urai yang mempunyai kehebatan dan kebolehannya tersendiri. Pak Su Weil tidak mempunyai kelulusan tinggi sampai ke peringkat universiti, hanya sekolah menengah sahaja, tetapi hati budi dan PR Pak Su Weil mengalahkan Adun-Adun yang lepas dari menara ganding.

Mesra, ramah dan pandai mengambil hati orang. Itulah rahsia Pak Su Weil kenapa berjaya menenangi kerusi Manik Urai sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada tahun 1986. Bagi Pak Su Weil kejayaannya dikerusi itu sebagai rekod kerana memenanginya berturut-turut, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008.

Kehebatan Pak Su Weil di Manik Urai terbukti apabila pada tahun 2004 Pas tidak meletakkannya bertanding di situ menyebabkan kerusi Manik Urai itu berpindah tangan kepada Umno.

Tahun 2008 apabila Pas meletakkan semula Pak Su Weil kerusi berkenaan menjadi milik Pas semula. Selain Adun Pak Su Weil juga merupakan pemimpin Pas kawasan Kuala Krai. Dalam pemilihan baru lalu Allahyraham ditentang oleh Zulkefli Yaacob untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua, beliau menang dengan 550 undi.

Kali terakhir saya menemui Pak Su Weil ialah semasa perarakan 100 ribu anjuran Bersih dua tahun lalu. Pada masa itu Pak Su Weil sudah kurang sihat, namun masih bersemangat untuk turut bersama rakyat menuntut keadilan.

Kenangan manis dengan Allahyarham ialah semasa menjelang sidang DUN Kelantan pada tahun 1996, di mana saya terlibat menyemak teks ucapannya yang hendak disampaikan dalam dewan. Allahyarham meminta saya menambah dan membiaki ayat-ayatnya supaya lebih keras.

Fokus ucapannya ketika itu ialah mengkritik pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mahu memberikerjasama dengan kerajaan khasnya Tok Guru. Ucapan Pak Su Weil itu menimbulkan kemarahan sesetegah pegawai keraaan Kelantan, bagaimana pun ia memberi kesan yang baik dimana selepas pegawai kerajaan Kelantan akhirnya tunduk kepada kehendak kerajaan.

Pak Su Weil juga dikenali sebagai seorang 'gedebe' dan berani. Juteru untuk beberapa ketika beliau dilantik menjadi pengarah keselamatan Pas. Bila ada pilihan raya kecil, Allahyaraham lah akan ditugaskan memastikan keselamatan.

Kini Pak Su Weil sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya jasa dan kenangan bersamanya saja. Semoga Allah mencucuri rohnya dengan segala keharuman dari jannah. Al Fatihah! [wm.kl. 8:15 am 22/05/09]

--
Me: Inilah rencana ALLAH. Sungguh banyak Pilihanraya Kecil selepas PR UMUM ke-12 Mac 2008 yang lepas. Apakah petandanya?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...