Friday, August 22, 2008

DNA Act - Kita agak lambat

Seiring dengan perkembangan semasa, DNA selalu digunakan untuk mengesan penjenayah, mencari bukti dll di tempat kejadian jenayah di samping penggunaan darah, semen, kulit, air liur atau helaian rambut. Asas penggunaan DNA ialah keunikan, sama seperti cap jari bagi manusia, yang mana setiap manusia, haiwan dan tumbuhan mempunyai DNA yang berbeza. Walaupun dua individu sama spesies mempunyai susunan DNA yang majoritinya sama, pemprofilan (profiling) DNA masih dapat dilakukan dengan meneliti salah satu susunan-susunan pemboleh ubah khusus dalam susunan DNA (VNTRs).

Kenapa baru sekarang Akta ini baru hendak digubal? Walaupun Jabatan Forensik PDRM mempunyai kapasiti untuk melakukan ujian DNA dengan kerjasama Jabatan Kimia, namun mereka masih kurang berkesan dalam mengumpul profil-profil DNA dan disimpan dalam bentuk bentuk pangkalan data (sperti CODIS). Kita tidak tahu sama ada mereka mempunyai simpanan data sedemikian rupa atau pun tidak. Lantaran itu, sampel DNA diambil berulang kali untuk diuji dan pengenal pastian identiti individu. Proses ini sedikit membazirkan masa siasatan yang diketahui amat berharga.

Dalam kes liwat terbaru Dato' Seri Anwar Ibrahim, beliau enggan sampelnya diambil kerana gusar sampel berkenaan akan dimanipulasikan untuk membentuk bukti. Beberapa tahun yang lepas, sampel DNA beliau telah pun diambil dan mustahil ianya tidak direkodkan. Jika benar apa yang didakwa Saiful Bukhari Azlan berlaku, sedikit sample (jika ada) bolehlah diambil dari si penuduh untuk dijalankan ujian profil DNA ke atasnya. Satu rekod baru DNA Saiful akan dibuka jika sebelum ini sampelnya belum pernah diambil. Jika terdapat DNA pihak lain, maka ujian profil akan dijalankan dan akan dipadankan dengan rekod sedia ada. Jika padanan terbukti sama dengan rekod profil DNA Dato' Seri Anwar, sudah pasti, dari sudut forensik dan jenayahnya, cukup untuk membuktikan Anwar bersalah. Kenapa ianya tidak menjadi semudah itu?

Berbalik kepada Akta DNA. Walaupun baru hendak digubal, itu adalah bagus. Ini akan memudahkan kerja siasatan bila adanya panduan (akta) untuk dikuatkuasakan. Rakyat sebenarnya tidak perlu risau sangat. Bukan semua orang akan diambil sampel DNA-nya melainkan kerajaan negara ini memang tidak kisah pasal privasi. Mengikut praktis semasa di negara-negara yang sudah agak lama mempunyai akta sedemikian rupa, hanya penjenayah yang ditahan atau suspek-suspek sesuatu kes yang akan diambil sampel DNA dan disimpan rekod profilnya. Hanya ada satu negara di Eropah bercadang untuk mewujudkan pangkalan data DNA yang mengandungi seluruh profil sampel DNA rakyatnya (namun masih di peringkat cadangan). Ada juga negara yang menumpukan kes-kes berkaitan jenayah seksual sahaja untuk memilih individu yang hendak disampel DNA-nya.

Isunya ialah kenapa baru sekarang Akta DNA ini hendak dibahas di dalam parlimen. Ianya amat ironik dengan suasana yang ditimbulkan akibat kes liwat kedua Anwar dan pilihan raya Permatang Pauh. Kita yakin dengan penggubalan akta ini, tiada lagi tilam yang akan diusung ke dalam mahkamah, menjadi satu tanda kebodohan pihak yang cuba untuk menegakkan benang yang basah.

--
(Ditulis secara bebas selepas merujuk Wikipedia dengan search terms DNA, forensics, trace evidence dan lain-lain)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...