Tuesday, March 18, 2008

NUTE adakan piket bantah tatacara pemberian saham

Semalam ada demo kat perkarangan TM Annex 1 & 2. Tapi tak turun sebab banyak kerja. Ini bukanlah demo puak-puak 'Bukan-Budaya-Kita' yang buat, tapi demo kesatuan pekerja telekomunikasi.

Berita di bawah dari harakahdaily.

Harakahdaily
Tue | Mar 18, 08 | 7:17:31 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Hrkh) - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Malaysia (NUTE) hari ini mengadakan piket di seluruh negara bagi membantah keputusan Kumpulan TM ke atas tatacara pemberian Tawaran Skim Opsyen Saham Kakitangan (ESOS).
Selain Nute, Kesatuan Pekerja Telekom Sarawak (UTES) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Telekom Sabah (SUTE) juga mengadakan piket yang sama di tempat masing-masing serentak pada masa yang sama hari ini. Piket tersebut diadakan di 25 lokasi di Semenanjung, tiga lokasi di Sabah dan Sarawak.
Wartawan Harakah, Roy Rasul dan Salmiyah Harun yang berada di Jalan Pantai Bangsar, berhampiran Menara TM melaporkan, kira-kira 500 ahli Nute yang menyertai piket tersebut mula berkumpul pada jam 5.30 petang di kawasan tersebut.
Sungguhpun dipantau kira-kira 20 orang anggota polis, mereka menyatakan bantahan sambil memegang sepanduk dan poster yang bertulis "ESOS jangan nafikan hak kami" serta Pembahagian Esos mestilah telus, jujur dan adil. Kebanyakan peserta piket juga memakai baju dan tudung berwarna merah tanda protes.
Presiden NUTE, Mohamed Shafie BP Mammal yang turut menyertai piket tersebut sewaktu ditemui menyatakan piket tersebut diadakan berikutan cara pembahagian ESOS yang tidak adil apabila tiada cadangan telus terhadap cara pembahagian ESOS, pengurusan Kumpulan TM tidak berbincang dengan kesatuan berhubung syarat pemberian saham serta pembahagian ESOS yang kabur dan mengelirukan.
Katanya, pengendalian isu penyumberan luar oleh Kumpulan TM tidak memberi pembelaan kepada pekerja telekom, khususnya yang lama berkhidmat.
Jelas Shafie, sungguhpun saham ESOS ditawarkan hari ini, pekerja bawahan (non eksekutif ) hanya layak mendapat dua hingga tiga lot saham yang berharga RM2000 sehingga RM3000. Pekerja bukan ekselutif TM berjumlah 26,000 orang.
Bagaimanapun mereka menolak sepenuhnya cara dan tawaran ESOS kerana tiada cadangan atau pembahagian saham secara telus dinyatakan cadangan atau pembahagian saham.
Jelasnya, sebelum piket bermula, Nute telah mengadakan mesyuarat bersama CEO TM, Dato' Abdul Wahid Omar, selama dua jam, namun tiada keputusan dibuat. Jelasnya, jika mereka tidak mendapat jawapan yang sepatutnya, satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri.
Jelas Shafie, sepatutnya pembahagian saham mengikut pengalaman kerja kerana pekerja bukan eksekutif inilah yang membangunkan TM. Bahkan katanya, ada kalangan pekerja telah berkhidmat lebih 30 tahun.
Menurut Shafie, pemegang saham TM melalui mesyuarat agung luar biasa pada 6 MAc 2008 meluluskan tawaran skim ESOS khas pengasingan TM bagi anggota kumpulan TM. Kelulusan ini diterima baik oleh ketiga-tiga kesatuan dan seluruh anggota TM.
Katanya, Nute mempersoalkan adakah tawaran ESOS ini mengikut jawatan hakiki dengan mengambil kira status perkhidmatan anggota pada 31 Disember 2007.
Katanya, pihak kesatuan berpendapat bahawa pembahagian Esos harus berdasarkan tahun perkhidmatan dan jawatan kakitangan TM.
Selain Shafie, turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC), Mustafa Maarof.
Peserta piket bersurai pada 6.30 petang dalam suasana aman sambil melaungkan "Hidup Nute". - mns

Kabinet baru - Abdullah gugurkan tujuh menteri


Harakahdaily

Tue | Mar 18, 08 | 2:48:35 pm MYT

PUTRAJAYA, 18 Mac (Hrkh) - Bernama melaporkan Perdana Menteri hari ini mengumumkan barisan Kabinet baru tanpa tujuh menteri lama yang menang pada pilihan raya umum lepas, selain melantik dua senator sebagai menteri.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata separuh daripada anggota pentadbirannya kali ini terdiri daripada muka baru.

Barisan pentadbiran baru Abdullah ini adalah berasaskan "semangat perkongsian kuasa dan setiakawan Barisan Nasional" yang mampu melaksanakan agenda kerajaan dengan lebih berkesan.

Abdullah sendiri mengekalkan portfolio sebagai Menteri Kewangan manakala Timbalannya Dato' Seri Najib Tun Razak juga kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor kekal sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Dua orang yang dilantik sebagai senator hari ini ialah Dato' Zaid Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Dato' Amirsham A.Aziz, kedua-duanya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Zaid, peguam terkemuka serta bekas anggota Parlimen Kota Baharu, dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman manakala Amirsham akan mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Tiga lagi menteri di JPM ialah Tan Sri Bernard G.Dompok, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz dan Dato' Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tujuh menteri yang tidak tersenarai ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno Dato' Seri Rafidah Aziz yang dulunya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Setiausaha Agung Umno Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad (Dalam Negeri); Dato' Seri Azmi Khalid (Sumber Asli dan Alam Sekitar); Dato' Seri Dr Jamaludin Jarjis (Sains, Teknologi dan Inovasi); dan Dato' Seri Tengku Adnan Mansor (Pelancongan).

Presiden MCA Dato' Seri Ong Ka Ting tidak disenaraikan setelah beliau meminta supaya tidak dipilih semula bagi menumpukan usaha kepada mengukuhkan kembali MCA.

Bekas Menteri Sumber Manusia Dato' Seri Dr Fong Chan Onn juga tidak dilantik semula.

Keseluruhannya, jumlah anggota pentadbiran Abdullah yang baru berkurangan daripada 90 orang sebelum ini kepada 69 orang sahaja setelah jawatan Setiausaha Parlimen dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata dengan pemansuhan jawatan Setiausaha Parlimen, menteri dan timbalan menteri perlu bekerja lebih keras.

Kabinet baru juga menyaksikan Ketua Penerangan Umno Senator Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, dilantik menjadi Menteri selepas 11 tahun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, dengan memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987 Dato' Shahrir Samad juga kembali menganggotai jemaah menteri sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menteri baru yang dilantik ialah Dato' Ahmad Shabery Cheek (Penerangan), Dato' Shaziman Abu Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi), Dato' Liow Tiong Lai (Kesihatan), Dato' Dr S.Subramaniam (Sumber Manusia), Dato' Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Dato' Ong Tee Keat (Pengangkutan), Dato' Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato' Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Dato' Ir Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Dato' Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Anggota Parlimen Bera Dato' Ismail Sabri Yaakob, 48, merupakan muka baru yang dilantik terus sebagai menteri penuh iaitu memegang portfolio Belia dan Sukan.

Abdullah juga mengumumkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri menjadi Kementerian Dalam Negeri diketuai bekas Menteri Luar Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Selain itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di JPM diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang akan diketuai Dato' Mohd Shafie Apdal, dulunya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Banyak perubahan dilakukan Abdullah dalam jemaah Menteri kali ini yang menurutnya bertujuan untuk menjadikan jentera kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Senarai Penuh Kabinet Abdullah Badawi :

Perdana Menteri: Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Timbalan Perdana Menteri: Dato' Seri Najib Tun Razak

JABATAN PERDANA MENTERI

Menteri : Tan Sri Bernard Dompok
Menteri: Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Menteri: Dato' Ahmad Zahid Hamidi
Menteri: Dato' Zaid Ibrahim (senator)
Menteri: Dato' Amirsham A Aziz (senator)

Timbalan: Dato' Johari Baharum
Timbalan: Dato' Dr Mashitah Ibrahim (senator)
Timbalan: S K Devamany
Timbalan : Dato' Hasan Malek

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Menteri : Dato' Seri Syed Hamid Albar

Timbalan : Dato' Chor Chee Heung
Timbalan : Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh (senator)

KEMENTERIAN KEWANGAN

Menteri : Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
Menteri II : Tan Sri Nor Mohamed Yakcop

Timbalan : Dato' Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Timbalan : Dato' Kong Cho Ha

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

Menteri : Dato' Ong Tee Keat

Timbalan : Dato' Anifah Aman

KEMENTERIAN KERJA RAYA

Menteri : Dato' Ir. Mohd Zin Mohamed

Timbalan : Dato' Yong Khoon Seng

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

Menteri : Dato' Peter Chin Fah Kui

Timbalan : A Kohilan Pillay (senator)

KEMENTERIAN TENAGA, AIR DAN KOMUNIKASI

Menteri : Dato' Shaziman Abu Mansor

Timbalan : Dato' Joseph Salang Gandum

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

Menteri : Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan : Dato' Liew Vui Keong
Timbalan : Dato' Jacob Dungau Sagan

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

Menteri : Dato' Mustapa Mohamed

Timbalan : Dato' Rohani Abdul Karim

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA

Menteri : Dato' Shahrir Abdul Samad

Timbalan : Jelaing anak Mersat

KEMENTERIAN PELAJARAN

Menteri : Dato' Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan : Dato' Dr Wee Ka Siong
Timbalan : Dato' Razali Ismail

KEMENTERIAN PENERANGAN

Menteri : Dato' Ahmad Shabery Cheek

Timbalan : Dato' Tan Lian Hoe

KEMENTERIAN PERPADUAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN WARISAN

Menteri : Dato' Shafie Apdal

Timbalan : Teng Boon Soon

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Menteri : Dato' Dr. S Subramaniam

Timbalan : Dato' Noraini Ahmad

KEMENTERIAN SAINS TEKNOLOGI DAN INOVASI

Menteri : Dato' Dr Maximus Ongkili

Timbalan : Fadillah Yusof

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

Menteri : Dato' Ong Ka Chuan

Timbalan : Dato' Robert Lau Hoi Chew
Timbalan : Dato' Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN PERTAHANAN

Menteri : Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak

Timbalan : Dato' Wira Abu Seman Yusop

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

Menteri : Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Timbalan : Tan Sri Joseph Kurup
Timbalan : Joseph Entulu anak Belaun

KEMENTERIAN LUAR NEGERI

Menteri : Dato' Seri Dr Rais Yatim

Timbalan : Dato' Seri Tengku Azlan Abu Bakar

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Menteri : Dato' Ismail Sabri Yaakob

Timbalan : Wee Jeck Seng

KEMENTERIAN KESIHATAN

Menteri : Dato' Liow Tiong Lai

Timbalan : Dato' Dr. Abdul Latiff Ahmad

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI

Menteri : Dato' Noh Omar

Timbalan : Dato' Saifuddin Abdullah

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA,KELUARGA DAN MASYARAKAT

Menteri : Dato' Dr Ng Yen Yen

Timbalan : Noriah Kasnon

KEMENTERIAN PELANCONGAN

Menteri : Dato' Seri Azalina Othman Said

Timbalan Menteri : Dato' Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Menteri : Dato' Zulhasnan Rafique

Timbalan Menteri : Dato' M Saravanan

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Menteri : Dato' Seri Khaled Nordin

Timbalan Menteri : Dato' Dr Hou Kok Chung
Timbalan Menteri : Dato' Idris Haron

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

Menteri : Dato' Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri : Dato' Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh - mr

Wednesday, March 12, 2008

Tahaluf dalam Islam

Sumber: http://www.ladang.net.my/t1/index.php?option=com_content&task=view&id=37&Itemid=29
Sempena kekalutan pemilihan MB Perak la ni....

MUQADDIMAH
Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan.Persefahaman ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji dan tertegaknya negara Islam.
Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.
Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan.
Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.
Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya:
Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)
Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah deng prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.
Hukum Tahaluf
Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya.Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditolaknya.
Syarat-syarat Tahaluf
1.Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip
Dalil-dalilnya ialah:
a) Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja.
Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolak-ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”
Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w.
b) Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya jangan beliau membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam. Contoh maslahat yang diizinkan: a.Ke arah kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariatnya.
Dalam situasi kegagalan idealogi-idealogi asing dan kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan orang- orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam idealogi bukan Islam dan kumpulan orang bukan Islam yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam, maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah dalam memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam pilihanraya, dalan persidangan dewan dan sebagainya, dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan dengan sepenuhnya dan kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam (tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka).
Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah dengan orang-orang Yahudi.
b.Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral
Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini.
Contohnya, bekerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya kerana Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah s.a.w. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.
Dan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:
Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: Dua orang anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar.Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak: Wahai orang Muhajrin! Manakala kaum Ansar berteriak: Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah panggilan seperti Jahiliyah ini? Mereka menjawab: Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar di mana salah satu dari keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu menyembunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya. Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya." (Riwayat Muslim)
2.Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan
Dalilnya:
a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sma menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan denga Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.
b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.
3.Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka
Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam. Firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali ‘Imran: 28)
Berwala maknanya menjadikan sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.
Muwada’ah
Di sana terdapat satu persefahaman secara sementera waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan senjata).
Disebut dalam “Syarah Muhazzab” (karangan Imam Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya.
Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.
Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)
Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong kita dan kita berjanji untuk menolong mereka.
1.Mereka menolong kita
Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam “Fiqh al-Sunnah”, adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan daripada golongan munafik dan fasik kerana Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang minafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang mabuk dalam peperangan menentang Parsi.
Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:
a)Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara mutlak b)Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan c)Imam Syafi’I mengharuskannya dengan syarat: a.Apabila orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah b.Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah.
2.Kita menolong mereka
Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya “al-Mabsut”, dan al-Syaibani di dalam kitabnya “al-Siyar al-Kabir”, Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Makkah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Makkah dilanda kemarau.
Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, “Zad al-Ma’ad”, apabila Sumamah bin al-Sal r.a., pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu kepada Rasulllah s.a.w. menasihatkan Sumamah agar menghentikan sekatannya.
KESIMPULAN
Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:
1.Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:
a)Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam b)Mengiktiraf negara Islam c)Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya
2.Tahaluf tanpa membentuk negara:
a)Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar b)Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya c)Berlindung sementara ketika lemah d)Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah
Perhatian
Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:
1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.
2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah yang tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.
3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yangkuat yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden.Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.
4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.
5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.
6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan kurniaanNya.
PENUTUP
Nas-nas dikaji menunjukkan tahaluf boleh dilakukan secara melibatkan gerakan menguasai negara secara menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu-isu atau situasi-situasi yang khusus dengan memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas.

Human Weapon: Silat

Saksikan dokumentari khas silat Melayu di History Channel, saluran 555 Astro.
Human Weapon: Silat
Khamis, 13 Mac 2008
9.00 malam
Saluran 55, The History Channel, ASTRO

Silat yang mendapat liputan ialah Silat Harimau, Gayong Malaysia, Lian Padukan dan Keris Melayu Lok 9.

Jangan ketinggalan!

(Info di laman web The History Channel @ http://www.history.com/minisite.do?content_type=Minisite_Generic&content_type_id=55011&display_order=3&sub_display_order=15&mini_id=54986)
Juga saksikan Human Weapon: Kung-Fu pada 20/3/2008 jam 9.00 malam di saluran 555, the History Channel, ASTRO.

Tuesday, March 04, 2008

Undilah Berdasarkan Calon Bukan Parti

sourced form : http://drmaza.com/?p=202
Berikut adalah temubual dengan S.S Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri mengenai siapakah calon yang patut dipilih oleh seseorang dalam Pilihanraya Ke-12 ini. Apakah dengan melihat kepada parti yang diwakili atau kualiti diri calon berkenaan?

S: S.S Dr, apakah soal pengundian ini mempunyai nilainya dalam agama?

Dr. MAZA: Ya, sudah pasti. Pengundian boleh menentukan masa depan rakyat dan negara. Keputusan yang betul akan menyelamatkan masa depan umat dan negara. Sementara keputusan yang salah akan menjerumuskan negara ke dalam kebinasaan, atau penyelewengan. Justeru itu Allah berfirman Surah an-Nisa' ayat 58: (maksudnya) : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu". Maka pengundian ada nilai yang besar dalam agama ini.

S: S.S Dr, adakah ini bererti anggapan yang menyatakan undian itu mempunyai nilai dosa dan pahala boleh diterima?

Dr. MAZA: Ya, sesiapa yang tahu bahawa undiannya atau pemilihan terhadap calon tertentu itu boleh membawa kerosakan atau keburukan kepada negara dan umat tetapi dia tetap lakukan atas kepentingan diri, atau suka-suka maka dia berdosa. Demikian sebaliknya, jika dia memilih calon yang berkelayakan, maka dia menunaikan arahan Allah tadi, ini bererti dia mendapat pahala. sabda Nabi s.a.w "Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah". (Riwayat Malik dalam Muwata`). Satu undi sama dengan satu kalimat bahkan lebih, ianya boleh mengundang keredhaan Allah atau kemurkaannya.

S: Ciri-ciri calon yang patut seseorang pilih, apakah merujuk kepada kualiti calon, atau parti yang diwakili?

Dr. MAZA: Saya tidak bersetuju mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata. Ini adalah cara fikir yang menghalang proses kemajuan negara. Akhirnya, rakyat menjadi fanatik parti dan tidak menggunakan lagi akal fikiran menilai siapakah yang diundinya. Jika semua pengundi berfikiran demikian maka tidak akan berlaku persaingan kualiti calon. Ini boleh menyebabkan 'si bodoh' atau 'perasuah' atau orang yang rendah moralnya akan terpilih dek kerana parti yang diwakilinya. Ini adalah cara fikir yang tidak berdaya saing dan jumud.

S: Tidakkah parti yang diwakili oleh seseorang mempunyai nilai kepada dirinya?

Dr. MAZA:
Ya mungkin, tapi itu bukan segala-galanya. Tidak munasabah dalam negara yang rakyatnya berpelajaran lalu kita katakan kepada pengundi : "jangan guna akal fikiran anda, cukuplah dengan hanya melihat lambang atau jenama". Ini pemikiran kanak-kanak tadika yang belum tahu mengeja dan membaca, lalu hanya bergantung kepada gambar-gambar yang dipapar. Jika itu cara fikir kita, elok kita buka pengundian kepada kanak-kanak bermula dari umur lima tahun. Mereka juga rakyat Malaysia. Yang penting mereka dapat mengenali lambang parti-parti yang diajar kepada mereka. Islam menyuruh diberikan amanah kepada sesiapa yang layak. Yang akan memikul amanah adalah orang, bukan parti. Parti itu terbentuk kerana wujudnya orang yang mendokong. Bukan wujud parti dulu, kemudian wujudnya orang. Wujudnya individu-individu dulu, kemudian baru mereka wujudkan parti. Jika orang tidak berkualiti, bagaimana hendak dikatakan parti itu berkualiti. Maka kempen saya: "pilihlah calon, bukan pilih parti".

S: Apakah ini padangan agama?

Dr. MAZA: Bagi saya inilah sikap seseorang yang beragama. Bebas dari fanatik atau taklid buta tanpa menggunakan akal. Agama menyuruh kita berfikir. Sebab itu seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim". (Riwayat Muslim). Jika berdasarkan kepada hubungan baik dengan Nabi s.a.w, maka Abu Zar patut dilantik. Namun dalam pemberian jawatan tidak ada soal kroni, atau fanatik hubungan kumpulan, sebaliknya soal kelayakan.

S: Jadi, apakah ciri-ciri yang sepatutnya seseorang calon itu diberikan undi untuknya?

Dr. MAZA: Secara umumnya mudah sahaja, mesti memiliki dua aspek. Seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah" (Surah al-Qasas: 26). Maka pertama; al-Quwwah atau kuat, dalam bahasa kita kemampuan, kewibawaan, kemahiran yang menjadikan dia mampu memimpin. Kedua: al-Amanah; ada kesolehan peribadi yang akan memelihara dirinya dari melakukan penyelewengan dan pelanggaran hukum. Jika kedua-dua ciri ini kelihatan pada penampilan calon, dia patut kita pilih.

S: Jika kesemua calon ada ciri-ciri ini, bagaimana S.S Dr?

Dr. MAZA: Kita pilih sesiapa kita rasakan paling tinggi kualitinya kepimpinan dan amanahnya. Tentunya tidak sama. Jika kita rasa sama, maka tidak salah kita pilih yang mana-mana pun selagi kita yakin dia yang terbaik mampu menunaikan tugas.

S: Jika kesemua calon tidak memenuhi ciri-ciri ini?

Dr. MAZA: Kita pilih yang paling kurang mudaratnya dan paling ringan bahayanya. Pada zaman Nabi s.a.w., apabila Rum berperang dengan Parsi, orang-orang Islam lebih sukakan kemenangan Rum dibandingkan Parsi. Walaupun kedua-duanya bukan Islam, tetapi agama Kristian yang dianut oleh orang Rum menjadikan mereka lebih dekat kepada umat Islam dibanding ajaran Majusi menyembah api yang dianut oleh Parsi. Allah menyebut dalam Surah al-Rum ayat 4: (maksudnya) "Pada hari tersebut (kemenangan Rum ke atas Parsi, maka orang-orang mukmin bergembira".

S: Bagaimanakah jika kita tidak kenal latar calon?

Dr. MAZA: Wajib kita kena kenal calon yang hendak kita undi. Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya): "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya". Seseorang wajib mencari maklumat mengenai calon. Masa diberikan oleh pihak pilihanraya. Ini bukan zaman batu. Selidiki sebelum membuat undian. Jika kita gagal mengetahui siapakah yang berkualiti, dia sekurang-kurangnya hendaklah pastikan calon yang jika diundinya tidak memberi mudarat kepada masyarakat dan umat. Jangan undi yang ada rekod buruk.

S: Akhirnya, apakah pesanan S.S Dr. kepada rakyat, khususnya umat Islam?

Dr. MAZA: Sesungguhnya undi yang kita berikan kepada seseorang calon adalah perlambangan kepada diri kita sendiri. Jika kita seorang yang inginkan kebaikan, tentu kita akan memilih mereka yang mampu membawa kebaikan dan kesolehan. Begitulah sebaliknya. Jika kita memilih calon yang buruk dari segi kepimpinan dan agamanya, sedangkan ada yang baik, itulah identiti kita sebenarnya. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis al-Imam Muslim: "Ruh-ruh itu adalah tentera yang dihimpunkan; apa yang mereka kenal, maka mereka berpadu. Apa yang mereka tidak kenal, maka mereka bertentangan". Nilailah siapakah yang jiwa dan ruh kita cenderung kepadanya, maka itu nilai ruh kita. Maka, pilihlah berdasarkan calon, bukan parti!

Monday, March 03, 2008

IKLAN TAWARAN BIASISWA YAYASAN TM

Iklan ini untuk :

1. Biasiswa Persediaan Luar Negara
2. Biasiswa Pra Universiti di Universiti Multimedia (MMU)
3. Biasiswa Ijazah Pertama di MMU dan Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Klik utk view yang lebih besar.




Klik download photo jika ingin simpan gambar ini di dalam Picasa Web Album.

Hanya permohonan online melalui laman web Yayasan TM sahaja terima. Permohonan dibuka sehingga 31 Mac 2008.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...