Wednesday, October 10, 2007

PAS Putrajaya Edar Juadah Berbuka Puasa Kepada Orang Ramai

oleh: AJK Penerangan Pemuda PAS Kawasan Putrajaya

Selasa, 27 Ramadhan 1428H (10 Okt 2007)
- PAS Kawasan Putrajaya petang tadi telah mengambil inisiatif dan langkah yang progresif mendekati masyarakat Putrajaya bersempena bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang sehari dua nanti. Seramai 10 orang Pemuda dan ahli PAS kawasan Putrajaya telah bekerjasama mengedarkan juadah berbuka puasa kepada mereka yang pulang kerja lewat petang.

Inisiatif ini diambil bagi membolehkan mereka yang pulang bekerja lewat petang dapat berbuka dengan lebih selesa disamping memberikan peluang kepada PAS Putrajaya untuk memberikan penerangan mengenai perkembangan dan aktiviti terkini PAS Putrajaya.

PAS Putrajaya juga turut melancarkan kutipan zakat fitrah sesama ahli dan orang ramai yang turut ingin menyalurkan bantuan secara langsung kepada masyarakat Putrajaya yang layak menerimanya. Sedar atau tidak, kedapatan segelintir keluarga kurang upaya dan keluarga miskin yang layak menerima bantuan zakat ini. Mereka seolah-olah terpinggir dari arus pembangunan mega bangunan dan kompleks kerajaan dan taman-taman rekreasi. Majlis mengagihkan bantuan zakat itu juga turut akan diadakan oleh PAS Putrajaya. Antara mereka yang menerima sumbangan zakat fitrah PAS Putrajaya pada tahun ini ialah sebuah keluarga yang kesemua ahlinya cacat penglihatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohammad Nor Mohamad sewaktu berucap di dalam ucapan penutup Majlis Berbuka Puasa PAS Putrajaya menegaskan bahawa PAS Putrajaya mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk menegakkan kehidupan yang harmonis berlandaskan perintah Allah SWT. Ini katanya dari segi prasarana dan kemudahan yang ada di Putrajaya, kerajaan yang ada tidak serius menangani masalah sosial dan juga mengabaikan pendidikan agama anak-anak bilamana tiada satu pun sekolah agama kerajaan yang didirikan di Putrajaya. Beliau dipetik sebagai mengulangi kekecewaan kepada kerajaan dan JAKIM sempena lawatan kerja PAS Wilayah Persekutuan ke JAKIM sebelumnya.

Selain itu, PAS Putrajaya ingin mengambil kesempatan mengingatkan agar penghuni Putrajaya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti meningkatkan tahap keselamatan rumah dan harta benda sempena cuti hari raya nanti. Juga beringat-ingat dan berhati-hati semasa memandu pulang ke kampung halaman untuk beraya nanti.

Akhirnya, PAS Putrajaya di sini mengajak para penghuni Putrajaya bermuhasabah di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini dan melakukan perubahan yang besar di dalam Pilihanraya Umum ke-12 nanti. Tiada apa yang perlu dirisaukan lagi kerana SPR baru-baru ini telah menyatakan secara jelas penggunaan nombor siri pada kertas undi akan dimansuhkan. Ini pastinya akan memberikan rasa selamat dan selesa untuk anda menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi yang bijak.

Akhir kata, PAS Putrajaya mengucapkan Selamat Hari Raya Edul Fitri 1428 Hijrah dan Maaf Zahir Batin.

"Selamatkan Demokrasi, Pulihkan Keadilan"

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...