Wednesday, October 04, 2006

10 Kesilapan Lelaki (diceduk dp laman Idealis-Mahasiswa)

Segala yang dipaparkan di bawah masih boleh diterima dan ditolak. Penerangan ini tidak qot'ie. Sekadar pandangan manusia biasa untuk memudahkan komunikasi antara manusia yang dijadikan berpasang-pasangan laki-laki dan perempuan oleh ALLAH Ta'ala.

oleh: AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN (syukran@kosmo.com.my)
sumber: Kosmo Jumaat 21 April 2006


KITA semua sedia maklum, wanita adalah ciptaan tuhan yang penuh misteri. Maka tidak hairanlah jika lelaki memang sukar untuk meneka apa yang ada di dalam fikiran mereka. Disebabkan tidak peka, tiada pengalaman dan perasan macho, ramai lelaki yang membuat pelbagai kesilapan ketika hendak menarik perhatian wanita yang disukainya.

Kesilapan ke-10: Menjadi lelaki yang terlalu 'baik'


Pernahkah anda tahu bahawa wanita yang cantik dan menarik biasanya tidak tertarik kepada lelaki yang terlalu 'baik'? Saya pasti anda mempunyai rakan-rakan wanita yang begitu vogue, tetapi sering berpasangan dengan lelaki yang pada pandangan anda kurang senonoh. Atas beberapa alasan lain pula, mereka tidak pernah menunjukkan minat untuk menjalin perhubungan romantik dengan anda atau lelaki lain yang nampak baik.

Kenapa keadaan ini berlaku? Sebenarnya, pilihan wanita terhadap seseorang lelaki bukannya berdasarkan sejauh mana baiknya lelaki tersebut. Wanita memilih seseorang lelaki kerana mereka dapat merasai kuasa tarikan yang dimiliki olehnya. Menjadi lelaki yang terlalu baik tidak semestinya akan membuat wanita merasai satu tarikan dan memilih anda. Kenyataan ini mungkin kedengaran tidak masuk akal dan sukar diterima, tetapi begitulah keadaannya.

Kesilapan ke-9: Cuba meyakinkan dia agar menyukai anda

Apa yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki apabila mereka bertemu dengan wanita yang benar-benar disukainya, tetapi wanita itu buat tidak tahu sahaja? Betul! Lelaki akan cuba untuk meyakinkan wanita tersebut supaya berperasaan sebaliknya. Satu perkara yang harus anda ingat, lelaki tidak dapat mengubahnya menerusi logik akal atau sebab-sebab lain.

Jika wanita itu sudah tidak berminat, bagaimana anda jangka dia akan mengubah perasaan dengan cara mendengar alasan-alasan anda? Tetapi itulah yang biasa dilakukan oleh lelaki. Apabila wanita yang diminati itu tidak menunjukkan sebarang reaksi positif, lelaki merayu, mendamba dan mengejarnya agar dia berubah fikiran. Hentikanlah, buang masa sahaja.

Kesilapan ke-8: Meminta kebenarannya

Dalam usaha lelaki untuk melayan wanita, kita sering meminta kebenarannya untuk melakukan sesuatu. Ini satu lagi idea yang tidak pernah membantu. Wanita langsung tidak tertarik kepada lelaki yang suka bergantung dan sentiasa ingin mendapat 'pelepasan' daripadanya. Jangan salah sangka, bukannya anda perlu melayan wanita dengan buruk untuk memikatnya. Jika anda sering melakukan kesilapan ini, segera tinggalkannya, kalau tidak, anda yang akan ditinggalkan.

Kesilapan ke-7: Cuba untuk 'membeli' perasaannya

Berapa kali anda membawa wanita yang anda sukai untuk makan malam (mahal), membelikannya hadiah dan bunga, sedangkan dia lebih berminat kepada lelaki yang hanya melakukan separuh daripada usaha anda itu.

Kenapa begitu kesudahannya? Apabila anda melakukan perkara sebegini, anda sebenarnya memberikan mesej: "Saya tidak fikir awak sukakan saya seadanya. Jadi, saya akan cuba untuk membeli perasaan dan perhatian awak."

Niat baik itu biasanya dianggap oleh wanita sebagai satu rasa kurang selamat dan manipulasi. Jadi, tidak perlu bazirkan wang anda untuk terlalu memanjakannya.

Kesilapan ke-6: Berkongsi perasaan terlalu awal

Satu lagi masalah utama lelaki ialah gemar untuk menyatakan perasaan mereka terlalu awal. Wanita yang menarik sukar ditemui, malah mereka menjadi pujaan ramai lelaki dan sentiasa dipikat menggunakan pelbagai cara. Jadi, wanita seperti ini mempunyai banyak pengalaman dan tahu apa yang boleh dijangka. Tetapi lelaki tidak ambil endah perkara ini.

Tiada perkara lain yang akan membuatkan si dia menjadi bosan dan ingin terus lari apabila anda meluahkan perasaan cinta terhadapnya selepas sekali atau dua kali berjanji temu.
Isyarat ini hanya akan membuatkan anda sama sahaja dengan lelaki-lelaki lain yang terlalu cepat jatuh cinta dan tidak mampu mengawal diri sendiri. Jadi, bertenang, masih banyak cara dan masa untuk menyatakan perasaan anda itu.

Kesilapan ke-5: Tidak faham bagaimana tarikan atau minat itu berlaku

Wanita sangat berbeza dari aspek tarikan berbanding lelaki. Apabila lelaki terpandang wanita yang cantik, muda dan seksi, dia akan segera merasai tarikan seksual. Tetapi mekanisme tarikan wanita bukan pada pandangan luaran sahaja. Anda mesti biasa melihat pasangan yang seolah-olah 'tidak kena' (perempuannya cantik, pasangannya pula tidaklah sekacak mana).

Wanita sebenarnya lebih tertarik kepada kualiti yang dimiliki oleh seseorang lelaki. Sekiranya anda tahu menggunakan bahasa tubuh dan berkomunikasi dengan bijak, tidak mustahil anda mampu menarik perhatiannya.

Kesilapan ke-4: Salah anggap

Lelaki sering menganggap bahawa wanita cantik berminat kepada lelaki yang kaya dan kacak sahaja atau beberapa lagi kriteria lain (tahap pendidikan, keturunan). Akibatnya, mereka menyerah kalah sebelum mencuba. Memang betul ada wanita yang bersikap demikian, tetapi bukan semuanya.

Ada ciri yang dimiliki lelaki yang benar-benar didambakan oleh wanita. Jika anda menggunakan sepenuhnya kelebihan diri, tidak mustahil anda juga akan diminati.

Kesilapan ke-3: Memberi kuasa kepadanya

Seringkali berlaku, lelaki sanggup melakukan apa sahaja yang dimahukan oleh wanita. Kadangkala mereka hanya ingin menguji kecerdikan anda. Bagaimana anda boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik jika semuanya berada di bawah telunjuknya?

Kesilapan ke-2: Gagal membaca situasi ketika janji temu

Bukan hendak menakut-nakutkan, tetapi wanita biasanya tahu apa yang anda fikirkan. Wanita dikatakan 10 kali lebih bijak dalam membaca isyarat atau bahasa tubuh.

Mungkin sukar dipercayai, tetapi itulah hakikatnya. Misalnya, anda sedang berjanji temu dan ingin menciumnya, percayalah, dia tahu hasrat anda itu. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, dia akan buat tidak tahu sahaja.

Apa yang perlu anda buat ialah tahu bagaimana untuk masuk ke fasa seterusnya. Tetapi harus diingat, lakukannya dengan bijak dan berhati-hati.

Kesilapan pertama: Tidak mendapatkan bantuan

Inilah kesilapan paling besar yang biasa dilakukan oleh lelaki dan membuatkan mereka seringkali gagal memikat wanita. Jadi, lakukan sedikit pembacaan, beranikan diri dan minta nasihat daripada mereka yang pakar. Mungkin ada pengalaman yang mereka alami boleh anda jadikan panduan dan sempadan.

Maka mulai hari ini cuba elakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan di atas, ia mungkin dapat meningkatkan lagi peratusan kejayaan anda memikat wanita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...