Thursday, March 09, 2006

Petua ‘Mengubati’ Pergaduhan

Petua 'Mengubati' Pergaduhan
(altered from original article in Majalah I, March 2006 pg. 48-49)

Pergaduhan biasa terjadi bila pihak yang terlibat tidak menggunakan
teknik yang betul untuk berdamai. Walaupun artikel asal mengaitkannya
dengan situasi konflik suami-isteri, namun ubah suai ini dirasakan
turut relevan untuk dijadikan pedoman dan panduan. Rujukan utama
adalah masih pada artikel asal yang merujuk kepada Komunikasi Intim
oleh Abdullah Hassan dan Ainon Abdullah.

1. Jangan merajuk
Apabila bergaduh jangan suka merajuk. Merajuk tidak berguna sama
sekali untuk menyelesaikan masalah. Malah ia boleh memburukkan lagi
masalah yang ada.

2. Jangan menghukum
Hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah. Hukuman juga
tidak menolong proses berdamai. Malah hukuman akan lebih
mempercepatkan proses rosaknya hubungan. Kalau benar masih ada niat
mahu berdamai jangan tergesa-gesa menghukum.

3. Jangan berdusta
Jika kedua-dua pihak bertelagah menunjukkan reaksi positif untuk
berdamai, janganlah salah satu pihak berpura-pura enggan, atau benci,
atau jual mahal. Perbuatan ini berisiko, kerana mungkin pihak satu
lagi menyangka perdamaian tidak akan dibuat. Ini, jika terjadi, akan
membantutkan terus usaha berdamai.

4. Jangan mencari salah
Jika mahu berdamai, hentikan tabiat suka mencari salah orang. Mencari
salah termasuklah mencari segala kelemahan dan kekurangan serta
menuduh pihak lain silap. Mencari salah tidak mungkin membawa kepada
penyelesaian.

5. Hentikan bahasa negatif
Dua jenis bahasa negatif yang sering digunakan apabila bergaduh ialah
bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Kalau mahu berdamai hentikanlah
menggunakan bahasa-bahasa yang negatif. Tukarlah bahasa yang negatif
kepada bahasa yang positif untuk memudahkan perdamaian. Pujian,
penghargaan dan sanjungan adalah antara contoh yang paling sesuai.

6. Bercakaplah tentang hari ini dan esok
Setelah berdamai, janganlah membangkitkan yang sudah-sudah. Terus
fokus kepada perkara yang berlaku sekarang dan akan datang. Jangan
pandang ke belakang melainkan untuk mengelakkan kesilapan silam
berulang kembali. Jangan sentuh apa yang sudah terjadi, sebaliknya
bercakap tentang apa yang hendak dibuat. Buangkan perkataan "dahulu"
dan "semalam" daripada kata-kata anda. Kedua-dua perkataan itu sangat
berbahaya, kerana tiada siapa yang boleh menyelesaikan "dahulu" dan
"semalam".

7. Senyum semula
Dalam sebuah kajian, antara perkara yang banyak disebut oleh lelaki
terhadap bekas-bekas isteri mereka ialah bahawa isteri mereka tidak
senyum lagi. Jadi senyumlah, walaupun susah, kerana senyuman ialah
cara yang paling mujarab untuk berdamai semula.

8. Mulakan berdamai
Biasa terjadi, konflik yang berlaku ini berlarutan beberapa lama
kerana masing-masing tidak mahu memulakan proses berdamai. Walaupun
masing-masing mungkin mahu beramai, tetapi masing-masing takut risiko
jika dia yang memulakannya. Mana tahu pihak lain tidak mahu berdamai?
Jangan menunggu, tunjukkan bukti yang kita bersungguh-sungguh mahu
berdamai dengan memulakannya terlebih dahulu. Andai kata orang itu
menolak usaha kita, sekurang-kurangnya kita tidak akan rasa bersalah
sangat kerana tidak memulakan usaha berdamai itu.

9. Kenal pasti punca masalah
Masalah ialah punca konflik yang utama. Selagi punca masalah itu tidak
dikenal pasti dengan tepat dan diatasi, selagi itu konflik yang sama
akan berulang.

10. Kenal pasti perubahan
Terangkan dengan bahasa yang tepat perubahan yang macam mana yang kita
mahukan. Oleh kerana biasanya konflik berpunca daripada tingkah laku
yang tidak dipersetujui, maka cara berdamai ialah dengan mengubah
tingkah laku itu. Ramai orang apabila mereka mahu pihak yang berkrisis
dengan mereka berubah, mereka bercakap secara am dan kabur. Mereka
menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini
menyebabkan pihak yang satu lagi tidak faham dengan jelas tingkah laku
yang mana satu yang perlu diubahnya.

Penutup artikel ini amat menarik.
Kebolehan mencari gaduh dan berkonflik dengan pasangan sendiri (atau
dengan pihak-pihak lain – pen.) tidak perlu dipelajari. Semua orang
memiliki kebolehan itu sebagaimana semua manusia mempunyai kebolehan
berlari. Tetapi kebolehan hidup dalam perasaan seronok, gembira dan
bahagia dengan pasangan perlu dipelajari sebagaimana manusia perlu
belajar berlari menggunakan teknik-teknik yang betul.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...