Saturday, February 11, 2006

AURAT

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dipilih oleh-Nya antara mereka yang menyertai Gayong UPM untuk menyertai lawatan ke Pusat Latihan Tertinggi Gayong di Air Kuning ini.

Bersilatlah kita, namun ajaran Tuhan jangan sesekali dilupakan.

Peringatan ini ditujukan buat kita semua, jika kita yang disifatkan maka cubalah berubah setakat mana yang kita mampu. Jika kita tidak disifatkan, maka sebar-sebarkanlah peringatan ini.

MENUTUP AURAT MENGIKUT SYARA’

Wanita Islam perlu faham tentang kewajipan menutup aurat kerana ia bukan sekadar fesyen tetapi merupakan syariat Allah SWT yang wajib ditunaikan. Pemakaian pakaia yang menutup aurat tidak pernah menghalang seseorang wanita daripada mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Seperti yang kita ketahui wanita mempunyai daya tarikan yang semulajadi yang mampu mengusik hati lelaki apabila dipandang, apatah lagi jika wanita itu berwajah cantik.

Fesyen apa pun yang dicipta tidak boleh lari dalam lingkungan menutup aurat. Syariat yang diturunkan oleh Allah dan ditentukan olehNya tidak mungkin berubah-ubah sebagaimana berubahnya fesyen pemakaian mengikut peredaran zaman. Allah bersifat penyayang kepada hamba-hambaNya telah menentukan kriteria berpakaian yang sesuai untuk dipakai oleh wanita Islam.

Memakai tudung yang dipadankan dengan jilbab, jubah atau baju kurung misalnya mestilah diniatkan untuk mendapat keredhaan Allah. Mungkin sudah bertudung tetapi masih menampakkan bahagian-bahagian lain seperti dada dan leher.

Ciri penutupan aurat yang sempurna bagi wanita apabila keluar rumah iaitu fesyen yang dikenakan mesti menutupi seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, pakaian yang dipakai mesti cukup tebal (tidak nipis) dan tidak menampakkan bayang-bayang tubuh, pakaian mesti longgar, warna pakaian tidak menarik minat atau perhatian lelaki, pakaian tdk menyerupai lelaki atau menyerupai pakaian wanita bukan Islam.

Hikmah menutup aurat yang telah disyariatkan oleh Allah ialah faedahnya akan pulang kepada si pemakai tersebut; ianya akan melahirkan wanita yang berakhlak mulia dan sangat menjaga maruah. Anak-anak muda jalanan yang suka memikat pun segan dan hormat serta tidak tergamak untuk mengusik apalagi mengganggu.

Mereka juga semakin tertutup dengan peluang diperkosa, dicabul atau digosip dsb, berbanding dengan mereka yang tidak menutup aurat kerana mereka telah menutup peluang dan ruang ke arah penglihatan yang menaikkan hawa nafsu. Dengan itu semakin tertutuplah pintu ke arah kemaksiatan seperti mana yang dianjurkan dalam firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 52, “dan janganlah kamu menghampiri zina...”

Selain itu di akhirat nanti si pemakai akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT. Sebenarnya di sebalik tertutup itu ada hikmahnya. Didiklah anak-anak yang masih kecil supaya menutup aurat sejak awal lagi dengan lemah lembut, bertujuan melahirkan seorang muslimah sejati.

Artikel Syarifah Rokiah dalam ruangan Surat Pilihan, Majalah i Disember 2005 hlm. 6 dengan sedikit pengubah suaian. Pesanan menutup aurat tdk hanya terhad kpd anak-anak kecil semata-mata, malah perlu disampaikan kepada semua peringkat lapisan umur wanita muslimah.


(ditulis utk diedarkan sempena lawatan PSSGM UPM ke Pusat Latihan Tertinggi Gayong di Air Kuning, Taiping, 30/11-03/12/2005)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...